1.8.11

Emak : Semalam dan Hari Ini


Semalam denganmu emak
tiap suapmu aku menari atas pelangi
hari ini tanpamu emak
nasi kutelan serupa pasir, bagai berduri

semalam denganmu emak
lembut tuturmu, jujur bersulam nasihat
hari ini tanpamu emak
aku jadi ragu, segala suara berbisik jahat

semalam denganmu emak
tidur ku hangat dalam pelukan
hari ini tanpamu emak
malam ku kelam tiada rembulan

semalam denganmu emak
rambutku kau sikat, kau jalin erat
hari ini tanpamu emak
rambut ku kerat, hitam warnanya telahpun karat

semalam denganmu emak
aku ketawa lalu kau senyum bahgia
hari ini tanpamu emak
aku menangis, tiada siapa mendengarnya

semalam denganmu emak
aku anak kecil lena dalam dukungan
hari ini tanpamu emak
aku gadis sesat tak berpunca tiada haluan...


RIP Jamilah binti Khalid. 
0 komen

26.7.11

simpul paling mati

Saat tiba musim dengan kuntum bunga dan kupu-kupu,
Hijau dan sunyi dialun kali berhulu nil syurga,
Lalu cinta pun bergantungan di tali hati,
Bagai ros merah dan loceng leher sapi,
Harum tak kurang sekebun warna yang kau pugar,
Dentingnya lembut memanggil aku datang,
Membias wangi dan cahaya segar,
Dengan aku di hujung tali dan kau di hujung satu lagi,
Akanku anyam menjadi simpul paling mati.
Published with Blogger-droid v1.7.2
0 komen

20.7.11

Merdeka atau derhaka?

Minda dijajah perit sakit mengenangmu
Sudah aku tak mampu
Bukan kerna aku jemu atau tak mahu
Ketamakan membunuh aku sedari itu
Ada racun walau dalam cium yang paling manis
Dan restu bukan sekadar tentang hidup berdua
Tapi tentang menjaga nama ayah dan ibu
Menanggung sakit rindu tak lebih payah dari mengusung dosa derhaka pada mereka
Ayuh, merdekakan rindu kita sayang
Cinta mu itu sebenarnya tak ada yang lebih layak melainkan dia
Bila aku hanya yang tersungkur di lembar ketidak-adilan tuhan
Dalam mengejar bayang takdir
Yang selalu muram
Yang selalu hitam.

posted from Bloggeroid
0 komen

PAPILLON




Sedang membaca Papillon.
Setakat 400 halaman, apa yang boleh lara rumuskan, ia adalah bukan fiksyen TERBAIK lara pernah baca.


"Madame, your son died without chains on his leg. He died bravely at the sea, far from warders and from prison. He died free, struggling courageously to gain his liberty. We each promised the other to write to his family in case anything happened to either of us. I am doing this painful duty, and i kiss your hands as a son would do."

Papillon,
Your boys's friend.



15 Julai 2011.
Leboh Ampang, Kuala Lumpur.
Published with Blogger-droid v1.7.2
0 komen

14.7.11

cinta dan tragedi


Manusia itu fana, makhluk laut kekal abadi,
Dan terpetiklah sebuah kisah,
Di tebing pantai paling landai,
Ada duyung sedang berhiba,
Mengenang nasibnya yang paling malang,
Antara dia dan pemuda nelayan,
Dia duyung mustahil berkaki,
Pemuda nelayan tak mungkin pula menumbuh insang,
Ketidak-adilan apakah ini tuhan?
Cinta kau karang bersulam tragedi?
Duyung terus menangis,
Airmata jadi lautan,
Dan di kedalaman laut paling jurang,
Makam pemuda nelayan bersemadi,
Ada denyut jantung,
Mendenyutkan nama yang terlarang,
Memanggil duyung pulang.

Tamat.

Published with Blogger-droid v1.7.2
0 komen