18.9.12
Apa Khabar, Tiang Lampu?
Di sisi jalan berdebu, engkau tunduk malu malu atau sebenarnya engkau penat?
Wahai, apa mentolmu sihat?
Cahayanya masih cerah atau samar pucat?
Lihat engkau, badanmu berkarat
Semoga cuaca kasihan padamu dan dia redup redup selalu
Aku? Ah, aku masih aja seperti dulu
Makanku tak ada berlebih, sakitku tak ada berkurang
Perit perih binatang terbuang, hitam dan dibenci orang
Tak mengapalah tiang lampu, angin pun sudah menyonsang petang, sekejap lagi matahari hilang
Aku tak bisa berlama lama, ada sampah perlu ku hadam, ada bangkai perlu ku tanam
Dan dengan itu, selamat tinggal tiang lampu
Jagalah diri, aku terbang dulu
Semoga nanti kita akan bertanya khabar lagi.
16.9.12
Apa Khabar, Hujan?
15.9.12
SKYJUICE DI #JBWRF
13.9.12
Selamat Jam Bekerja
Selamat jam tujuh hampir separuh bukan lagi subuh. Lihat masa berkayuh, perlahan dan menjauh. Turunkanlah sauh, mimpi ini harus berlabuh.
Selamat jam lapan sudah suku hampir sembilan. Saya memulai pagi dengan menghirup pahit asap. Kopi tuan puan, manis, saya harap.
Selamat jam lapan begitu lambat mahu sembilan. Di pejabat ini saya hamba kerja. Kerusi dan meja menggelangi, pen dan kertas memerintahi; kerja harus siap kalau tidak nasi tak bersuap.
Selamat jam sepuluh saya kini berpeluh peluh. Hamba kerja di kubikel ini, saya dikerah membajak mimpi yang takkan saya tuai. Tuan puan, pun begitu?
Selamat jam dua belas lewat separuh hampir satu. Kerja bagai tak habis, tenaga makin menipis. Kepala saya rindukan nasi. Tuan puan, makan apa tengahari ini?
Selamat jam lapan lagi suku hampir sembilan. Kebahagiaan yang datang dari wang; darah dan daging tulang belulang, pun hancur saya tetap walang.
Selamat jam sembilan sudah separuh hampir sepuluh. Waktu tak menunggu, saya kelewatan. Kerja mengejek saya, katanya; "Gajimu sudah dipotong tuan!"
5.7.12
sepasang kekasih dan nota nota dari tuhan (xv)
Barangkali yang diperlukan, adalah, hanyalah; sebuah pelukan. Wahai tuan, bermurah hatilah, cinta tak harus terusan bertingkah.
..lalu doa pun menggantungkan dirinya di ujung tali temali hati. Walau pada Nya telah ia sampai, tapi padamu ia tak mampu.
Barangkali yang retak itu adalah hati, bahawa padanya ada cinta yang tak sampai dan duka yang tak selesai. Wahai tuan, usahlah bermuram lagi, bukankah saya ada di sini?
Sebuah pagi, bundar mimpi yang takkan nyaris aku lupakan. Kerana kita adalah sepasang horizon; yang saling mengejar dan takkan terkejarkan.
Sudahnya, aku hanyalah sepotong doa yang tak pernah engkau lafazkan. Biar engkau adalah wirid yang tak pernah putus aku ratibkan.
Langit menjemputnya pulang. Pada segala yang ada di antara aku dan syurga, engkaulah kampung halaman, tempat berdiam segala kenangan.
Selamat jalan kebahagiaan; engkau yang pernah bertandang ke laman hati kami. Dari tuhan engkau datang, kepada tuhan lah engkau kembali.