20.12.10

Debu Durjana

Dari debu debu durjana
pada hangat besi dipanggang liuk api syaitan
meluwapkan dengus nafas jahannam
yang kau panggil syurga

Dari debu debu yang sama
di hujung jarum pinjaman iblis
torniket keratan batik jawa
ketar jarimu menggenggam celaka

Dari debu debu yang membahana
tersisa di hujung penjuru meja kaca
lima puluh dalil yang tinggal kini hanya selusuhan sekarat
dua puluh enam gulung nikmat di hujung hujung hayat

Dari debu debu itulah jua
Sebentar ia menjauh sedetik kau mengaduh
Tersandar seluruh perit tak tertelan segala sakit
Hidupmu sekadar senafas serupa mayat menunggu lahad

Laungkan selamat pada tibi-! 
ucapkan sejahtera pada HIV-!
dari debu debu yang kau hirup dulu 
kuman celaka yang kau dapat kini-!

Wahai, lama ini kau pun diam
telah datang khabar duka dari pantai yang bercahaya
bulan lalu padam
ombak perlahan jadi surut
di dasar laut selatan China itu ada pusara

Dari jauh emak takhenti mengirim luluh dan air mata
ayah taksudah menggeleng hiba
dan dari aku untuk kau hanya ratiban sepotong doa;
"tuhan ampuni dia, abangku sayang abangku sayang..."
10 komen

17.12.10

asid kuat dan asid lemah

oleh kerana asid kuat bercerai dengan lebih banyak daripada asid lemah, maka pada kepekatan asid yang sama,kepekatan ion Hidrogen dalam asid kuat adalah lebih tinggi dari asid lemah,oleh itu nilai pH asid kuat adalah kurang daripada nilai pH asid lemah walaupun keduanya berkepekatan sama.


sekian terima kasih.
1 komen

30.11.10

pada hangatnya matahari yang mencium pipi

dengarkan angin itu
membisik sayu senandung cinta
pada hangatnya matahari yang mencium pipi
telah ia tersenyum dan berlalu pergi
tiga musim pelangi waktu ia kembali

tiga musim aku menanti
tabah memupuk membaja rindu
pada dingin bulan aku mengadu lelah
malam malam aku sendiri
rindu ku baja tak mungkin berbuah

matahari itu
si jalang bedebah
6 komen

21.11.10

I Think I'm Stuck In The Past

Mungkin cuma kenangan yang menghantui bukan cinta dalam hati
Mungkin kerana dia tidak pernah aku miliki jadi rasa ini jadi begini

Mungkin kerana janji yang masih teringati diri dibebani rasa itu dan rasa ini
Tuhan, kalau masih ada sisa cinta yang berbaki, tolong hapuskan
Kalau masih ada rasa sayang, biarlah ia tetap sebagai kawan
Jangan biar aku terus hanyut
Jangan biar aku lemas dalam kenangan
momen-momen indah buat aku gundah
Tuhan, tolong lenyapkan
Supaya aku tidak lagi berperang dengan perasaan
Buang segala rasa, janji, dan imaginasi
Aku mahu menikmati sisa hidup yang berbaki
Saat tempo kahidupan masih laju
Lorongkan aku, hidupkan aku, keluarkan aku
dari kenangan masa lalu.
1 komen

20.11.10

cermin kasih retak sejuta

Cermin kasih retak sejuta
Jalur jalur rindu aku yang punya
Biar retak seseni apa jua
Biar sejalur membakar bahangnya!



khas buat Ganja.Selamat hari ulangtahun.
hadiah postpone dulu.
hehe
11 komen