Ruang Renung #255
- Hasan Aspahani
Selamat jam tujuh hampir separuh bukan lagi subuh. Lihat masa berkayuh, perlahan dan menjauh. Turunkanlah sauh, mimpi ini harus berlabuh.
Selamat jam lapan sudah suku hampir sembilan. Saya memulai pagi dengan menghirup pahit asap. Kopi tuan puan, manis, saya harap.
Selamat jam lapan begitu lambat mahu sembilan. Di pejabat ini saya hamba kerja. Kerusi dan meja menggelangi, pen dan kertas memerintahi; kerja harus siap kalau tidak nasi tak bersuap.
Selamat jam sepuluh saya kini berpeluh peluh. Hamba kerja di kubikel ini, saya dikerah membajak mimpi yang takkan saya tuai. Tuan puan, pun begitu?
Selamat jam dua belas lewat separuh hampir satu. Kerja bagai tak habis, tenaga makin menipis. Kepala saya rindukan nasi. Tuan puan, makan apa tengahari ini?
Selamat jam lapan lagi suku hampir sembilan. Kebahagiaan yang datang dari wang; darah dan daging tulang belulang, pun hancur saya tetap walang.
Selamat jam sembilan sudah separuh hampir sepuluh. Waktu tak menunggu, saya kelewatan. Kerja mengejek saya, katanya; "Gajimu sudah dipotong tuan!"