5.7.12

sepasang kekasih dan nota nota dari tuhan (xv)

Pada bundar mata dan jelinya, serupa...seperti apa itu penyajak sering menyebutnya? Oh ya, jernih air perigi. Tapi kau lebih asli lagi.

Barangkali yang diperlukan, adalah, hanyalah; sebuah pelukan. Wahai tuan, bermurah hatilah, cinta tak harus terusan bertingkah.

..lalu doa pun menggantungkan dirinya di ujung tali temali hati. Walau pada Nya telah ia sampai, tapi padamu ia tak mampu.

Barangkali yang retak itu adalah hati, bahawa padanya ada cinta yang tak sampai dan duka yang tak selesai. Wahai tuan, usahlah bermuram lagi, bukankah saya ada di sini?

Sebuah pagi, bundar mimpi yang takkan nyaris aku lupakan. Kerana kita adalah sepasang horizon; yang saling mengejar dan takkan terkejarkan.

Sudahnya, aku hanyalah sepotong doa yang tak pernah engkau lafazkan. Biar engkau adalah wirid yang tak pernah putus aku ratibkan.

Langit menjemputnya pulang. Pada segala yang ada di antara aku dan syurga, engkaulah kampung halaman, tempat berdiam segala kenangan.

Selamat jalan kebahagiaan; engkau yang pernah bertandang ke laman hati kami. Dari tuhan engkau datang, kepada tuhan lah engkau kembali.

Published with Blogger-droid v2.0.4

No comments: