Wahai si pemilik mata
di remang matamu yang luka
ada penawar yang tak tawar
menghunjam ia jatuh
api pun bisa pudar
cahaya lumpuh layuh
dunia telah berpaling tadah
hatiku karah jiwaku lelah
pundakku perit dalam sujud aku menjerit
demikian dari takbir ke takbir
kulaungkan semboyan doa
bersama sama angin gasar yang melayangkan seribu kerambit
lemparkan batu itu seperti Ababil melontar api peluru
ledakkanlah langit musuhnya!
pasakkanlah gentar di jiwa mereka!
dan betapa langit di mana mana pun adalah cermin hati manusia
awannya telah retak lukanya habis merebak
persis luka di matamu itu
menitiskan amarah dan darah yang
parah dan merah
maafkanlah aku wahai si pemilik mata
aku cuma punya kata kata
yang kugubah jadi sajak dan doa
dan barangkali
kerana musuhnya lebih perkasa
kerana tuhan lebih tahu
kerana belum sampai masa
kerana janjinya bukan palsu
maka pasrahlah saja kita di medan abadi sebuah penghujung duka
tapi kita bukan gagal bahkan tidak kalah!
kami yang tinggal akan menyambung langkah!
selamat jalan kawan terbanglah bersama para syuhada
dari zaman lama ketika para anbiya memerangi dusta
semoga yang pernah rebah menjelma semula
dari debu sama kuburmu yang tak bertanda
yang kelak menjadi istanamu di suatu taman di kota syurga
yang seluas seribu tanah Gaza
dan itulah yang selayaknya untukmu si pemilik mata Palestina .. yang
telah lama luka.
No comments:
Post a Comment